Pages

Wednesday, December 8, 2010

Jom Puasa 9 & 10 Muharam!


شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صةُ اللَّيْلِ


“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah - Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”[HR. Muslim no. 1163, daripada Abu Hurairah]


Dalil Puasa Asyura:



وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ « يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ ». قَالَ وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ « يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ



“Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah? Baginda menjawab, ”Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Baginda juga ditanya mengenai keistimewaan puasa ’Asyura? Baginda menjawab, ”Puasa ’Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu.”[HR. Muslim no. 1162]


كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ تَصُومُهُ قُرَيْشٌ فِى الْجَاهِلِيَّةِ ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَصُومُهُ ، فَلَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ صَامَهُ ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ ، فَلَمَّا فُرِضَ

رَمَضَانُ تَرَكَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ ، فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ ، وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ


”Di zaman jahiliah dahulu,

orang Quraisy biasa melakukan puasa ’Asyura. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam juga melakukan puasa tersebut. Tatkala tiba di Madinah, Baginda melakukan puasa tersebut dan memerintahkan yang lain untuk melakukannya. Namun tatkala puasa Ramadhan diwajibkan, Baginda meninggalkan puasa ’Asyura. (Lalu Baginda mengatakan:) Barangsiapa yang mahu, silakan berpuasa. Barangsiapa yang mahu, silakan meninggalkannya (tidak berpuasa).”[HR. Al-Bukhari no. 2002 dan Muslim no. 1125]



أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِى تَصُومُونَهُ ». فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ أَنْجَى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا فَنَحْنُ نَصُومُهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ ». فَصَامَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.



“Ketika tiba di Madinah, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa ’Asyura. Kemudian Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam bertanya, ”Hari yang kalian bepuasa ini adalah hari apa?” Orang-orang Yahudi tersebut menjawab, ”Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya, dan Fir’aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini dalam untuk bersyukur, maka kami pun berpuasa pada hari ini”. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam lantas berkata, ”Kami lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kalian.”. Lalu setelah itu Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa.”[HR. Muslim no. 1130]



أَنَّ أَهْلَ الْجَاهِلِيَّةِ كَانُوا يَصُومُونَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- صَامَهُ وَالْمُسْلِمُونَ قَبْلَ أَنْ يُفْتَرَضَ رَمَضَانُ فَلَمَّا افْتُرِضَ رَمَضَانُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّ عَاشُورَاءَ يَوْمٌ مِنْ أَيَّامِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ.



“Sesungguhnya orang-orang Jahiliah biasa melakukan puasa pada hari ’Asyura. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam pun melakukan puasa tersebut sebelum diwajibkannya puasa Ramadhan, begitu pula kaum muslimin saat itu. Tatkala Ramadhan diwajibkan, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam mengatakan: Sesungguhnya hari Asyura adalah hari di antara hari-hari Allah. Barangsiapa yang ingin berpuasa, silakan berpuasa. Barangsiapa meninggalkannya juga silakan.”[HR. Muslim no. 1126]


Dalil Puasa Tasu'a


Ibnu Abbas radhiallahu ’anhuma berkata bahawa ketika Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam melakukan puasa hari ’Asyura dan memerintahkan kaum muslimin untuk melakukannya, pada saat itu ada yang berkata,



يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى.



“Wahai Rasulullah, hari ini adalah hari yang diagungkan

oleh Yahudi dan Kristian.” Lantas Baginda mengatakan,



فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ - إِنْ شَاءَ اللَّهُ - صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ



“Apabila tiba tahun depan –insya Allah (jika Allah menghendaki)- kita akan berpuasa pula pada hari kesembilan.” Ibnu Abbas mengatakan,



فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّىَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-.



“Belum sampai tahun depan, Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam sudah meninggal dunia.”[HR. Muslim no. 1134]


Mohd Masri Mohd Ramli


Hadis rekaan tentang hari Asyura


Hadis yang dimaksudkan :

Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda :
"Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka Allah akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Asyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka." Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Asyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Asyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Asyura, Allah menenggelamkan Fir'aun pada hari Asyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Asyura, Allah menerima taubat Nabi Adam pada hari Asyura, Allah mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Asyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura !".

*
Hadis ini statusnya maudhu' (rekaan) mengikut Syaikhul Hadis Nasiruddin alBani dan pendustaan terhadap Ibn Abbas RA.

Ibn Jauzi pula menegaskan hadis ini maudhu' tanpa ragu lagi.

Imam Dzahabi juga menyebut sebagai maudhu' (rekaan).

Imam Ahmad Ibn Hanbal menjelaskan hadis ini direka oleh seorang pendusta bernama Habib bin Abu Habib.

Ibn Hibban juga memberitahu hadis ini adalah batil dan tidak halal menyibarkannya.
http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/2009/12/hadis-rekaan-tentang-hari-asyura.html

Tuesday, December 7, 2010

Membendung Kesalahan Fakta Terhadap Tahun Hijrah


Apabila tiba 1 Muharram dalam takwim Islam pasti akan menyebut Awal Muharram ini sebagai tahun baru Islam dan juga Maal Hijrah. Malah ada juga yang mengaitkan 1 Muharram ini dengan peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah. Namun apabila diteliti melalui sudut fakta sejarah, kelihatan kebiasaan sambutan Maal Hijrah oleh masyarakat jauh tersasar. Kesalahan dari segi fakta sirah di sini adalah ditetapkan bahawa 1 Muharram adalah berlakunya peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah.

Sebenarnya, di sini terdapat satu kesalahan fakta sirah yang harus diperbetulkan agar masyarakat kita mengambil kira sikap mencari kesahihan fakta demi menjaga ketulenan sesebuah kisah. Mengikut kitab-kitab sirah terdahulu, tidak ada kitab yang meriwayatkan bahawa 1 Muharram adalah penghijrahan Nabi Muhammad saw. Tetapi fakta yang sebenarnya adalah pada bulan Rabiulawal. Menurut sebuah kitab sirah yang terkenal iaitu al-Rahiq al-Mahktum, penulisnya adalah Syeikh Shafiurrahman Al-Mubarakfuri.



Permulaan Nabi Muhammad saw Berhijrah

Sebaik sahaja api kemarahan dan usaha membunuh Rasulullah reda, rondaan dan sekatan pemeriksaan dihentikan, setelah tiga hari berturut-turut, maka Rasulullah dan sahabatnya
bersiap untuk keluar dan bergerak ke Madinah. Mereka berdua telah pun mengupah Abdullah bin Uraiqat, beliau adalah seorang yang tenang dan mahir mengenai jalan di padang pasir,
beliau masih lagi dengan agama Quraisy, namun baginda
mempercayai dalam hal ini, Rasulullah dan sahabatnya itu telah menyerah kedua-dua
binatang tunggangan mereka kepada Abdullah, dengan menjanjikannya untuk menemui mereka di pintu gua, selepas tiga malam berlalu di malam Isnin satu haribulan Rabiul al-Awal, tahun pertama Hijriah bersamaan 16 September 622 Masihi,
Abdullah bin Uraiqat pun tiba ke pintu gua dengan membawa dua tunggangan, kata Abu Bakr kepada Rasulullah, "Dikaulah sebagai ayahku, ambillah salah seekor tunggangan ini". Beliau pun menyerahkan yang terbaik di antara dua ekor itu. Jawab Rasulullah, "Ku ambil Dengan harga".
Asma' binti Abu Bakr pun membawa bekalan perjalanan Rasulullah dan Abu Bakr, beliau terlupa membawa tali pengikat untuk diikat bekalan tadi pada kenderaan baginda, akhirnya beliau mengoyak kain pengikat pinggangnya, sebelah diikatkan bekalan makanan yang sebelah lagi diikat semula ke pinggangnya, dengan itu beliau dikenali dengan "Zat al-Nitaqain " yang empunya dua tali pinggang.

Ketibaan Nabi Muhammad saw di Quba'


Bertepatan pada hari Isnin 8 Rabiul al-Awal tahun 14 kebangkitan Rasulullah, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi, Rasulullah telah sampai ke Quba'.

Kata Urwah bin al-Zubair: Umat Islam di Madinah telah pun mendapat maklumat mengenai
penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah, justeru itu, paada setiap pagi mereka keluar beramai-ramai ke tanah lapang al-Hurah, menunggu kedatangan Rasulullah. Mereka pulang ke rumah apabila matahari terik memaksa mereka pulang ke rumah. Di suatu hari, apabila mereka pulang ke rumah masing-masing kerana keletihan menunggu, ditakdirkan seorang Yahudi yang
sedang berada di beranda atau menara pagarnya, beliau ternampak Rasulullah bersama-sama para sahabatnya serba putih kelihatan jelas dari jauh, Yahudi tadi tak tertahan untuk meluahkan perasaannya dengan melaung," wahai bangsa Arab, itu dia datuk kamu yang kamu tunggu-tunggu," kaum muslimin pun marah dan segera mereka mencapai senjata.

Ibn al-Qayyum menceritakan," Kedengaran laungan takbir di rumah Banu Amru bin Auf,
justeru itu seluruh kaum muslimin pun melaungkan takbir kegembiraan dengan ketibaan Rasulullah seluruh mereka mengalu-alukan kedatangan Rasulullah dengan sambutan dan aluan sebagai seorang nabi, kesemua mereka merenung ke muka Rasulullah melingkungi baginda dalam suasana di selubungi ketenagan dan wahyu pun turu kepada Rasulullah".

"...Sesungguhnya Allah adalah Pembelanya, dan selain dari itu Jibril serta orang salih dari kalangan orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya"
(al-Tahrim: 4)
Melalui riwayat daripada Syeikh Dr. Mustafa Sibaie, melalui kitabnya Sirah Nabawiyah Durusun wa 'Ibar menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw tiba pada 12 Rabiulawal. Ianya sebagaimana yang dibuktikan pada hujah di bawah:
Rasul s.a.w. dan teman Baginda (Abu Bakar) telah sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awal. Baginda sampai ke sana setelah para sahabat lama menanti. Mereka keluar setiap pagi ke pinggir Madinah dan hanya pulang setelah matahari memancar terik pada waktu tengah hari. Apabila mereka melihat Baginda, mereka merasa amat gembira. Kanak-kanak mula mendendangkan nasyid diiringi dengan gendang-gendang:
Bulan purnama telah terbit kepada kami,

dari jalan-jalan bukit ul-Wada.

Wajib ke atas kami untuk bersyukur,
terhadap seruan penyeru kepada Allah.

Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,

Kami datang bersama perkara yang dipatuhi.
Jelas di sini bahawa penghijrahan Nabi Muhammad saw bukanlah pada 1 Muharram tetapi berlaku pada bulan Rabiulawal iaitu pada 12 haribulan. Segala yang terkandung apa buku fikiran masyarakat pada hari ini amat jelas meleset kerana tersalahnya fakta yang sebenar.

Maka, sewajarnya diubah mengenai penghijrahan Nabi Muhammad saw pada bulan Muharram itu kepada bulan Rabiulawal kerana kesalahan fakta yang terang lagi bersuluh melalui kitab -kitab sirah yang terkenal dan digunapakai melalui pengajian-pengajian sirah.

Adapun mengenai penentuan bulan pertama di dalam takwim Hijrah, Umar Al-Khattab orang yang bertanggungjawab terhadap perkara ini. Beliau menetapkan takwim Hijrah pada zaman pemerintahan beliau dan berpendapat menetapkan bulan Muharram sebagai bulan pertama di dalam Tahun Hijrah adalah kerana bulan Muharram ini istimewa kerana diharamkan peperangan berlaku dan berlakunya ketenangan, kedamaian dan keamanan pada bulan Muharram.

Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari


Wednesday, November 24, 2010

Wahai remaja! Inilah perosak akidahmu termasuk di FB



Ini merupakan beberapa perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah yang sering dilakukan oleh golongan remaja atau yang sering mereka lihat



Tangkal


Ia wujud dalam pelbagai bentuk. Ada yang menggunakan benang, tulang, kayu dan sebagainya. Ada yang diletakkan di pintu rumah, meletak gunting bawah bantal, digantung di leher, meletak surah yasin di sebelah ketika tidur dan sebagainya.


إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ


"Sesungguhnya jampi-jampi (yang syirik), tangkal, dan guna-guna (sihir yang selalu isteri kenakan pada suami) adalah syirik". [HR. Ahmad dalam Al-Musnad (1/381), Abu Daud dan lain-lain]


Termasuk tangkal ialah apabila kita menggantung ayat al-Quran seperti ayat Kursi, surah 3 kul dengan mempercayai ia akan menghalang syaitan. Adapun menggantung untuk memudahkan ia dibaca tidaklah menjadi masalah. Hendaklah adik-adik memerhatikan keadaan di rumah adik-adik. Wujudkah tangkal atau yang seumpama dengannya. Jika ada? Buang segera..



Horoskop


Horoscopes ialah bintang seseorang yang dengan itu dapat diramal kebaikan atau keburukannya. Bintang ini ditentukan berdasarkan tarikh lahir. Sebagai contoh, orang yang lahir antara 21 Mac hingga 19 April memiliki bintang Aries, orang yang lahir antara 20 April hingga 20 Mei memiliki bintang Taurus dan demikianlah seterusnya.

Asal usul horoscopes ialah menggunakan kedudukan bintang, planet dan matahari untuk meramalkan kebaikan atau keburukan

Rasulullah menolak amalan sedemikian kerana ia adalah satu bentuk kekafiran. Zaid bin Khalid al-Juhani radhiallahu 'anh menerangkan:


صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ الصُّبْحِ بِالْحُدَيْبِيَةِ عَلَى إِثْرِ سَمَاءٍ كَانَتْ مِنْ اللَّيْلَةِ. فَلَمَّا انْصَرَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَقَالَ: هَلْ تَدْرُونَ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِي مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ فَأَمَّا مَنْ قَالَ مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِي كَافِرٌ بِالْكَوْكَبِ وَأَمَّا مَنْ قَالَ بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا فَذَلِكَ كَافِرٌ بِي مُؤْمِنٌ بِالْكَوْكَبِ.



Kami bersolat subuh bersama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di Hudaibiyah setelah semalamnya turun hujan. Tatkala selesai, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menghadap orang ramai dan bersabda:“Tahukah kalian apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Mereka menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallammenjawab (Allah berfirman): “Pada pagi ini ada di antara hamba-Ku yang beriman kepada-Ku dan ada yang kafir. Adapun orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya, maka dia beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang. Sedangkan orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana bintang itu dan ini, maka dia kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang.” [Sahih al-Bukhari:846].

Bermain-main dengan horoskop sekadar suka-suka tetap berdosa walau tidak merosakkan akidah. Ia sama dengan pergi berjumpa bomoh walau tidak mempercayainya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً.


Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam [Sahih Muslim:2230].

Maka adik-adik hendaklah menjauhi daripada mengambil tahu tentang horoskop adik-adik dan rakan-rakan. Hendaklah menjauhkan diri daripada membaca horoskop atau apa-apa tilikan yang ada di majalah, facebook dan sebagainya. Ditakuti ia sedang mengancam akidah adik-adik.



Merasakan hukum hakam Islam tidak sempurna


Allah Ta’ala berfirman :


أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ(50)



“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Maidah : 50)

Pernah seorang pelajar perempuan tingkatan tiga menyatakan kenapa perempuan kena pakai tudung, lelaki tidak, dan dia menyatakan bahawa ia tidak adil. Perkataan seumpama ini boleh merosakkan akidah kerana ia menunjukkan kita tidak yakin dengan kesempurnaan hukum hakam Allah.

Hendaklah adik-adik yakin bahawa Islam agama yang sempurna. Segala peraturan yang ada di dalamnya adalah sempurna. Jika kita benar-benar beriman Allah Maha Bijaksana, kenapa perlu kita meragui keputusannya?



Menghina hukum hakam



إِنَّ الَّذِينَ أَجْرَمُوا كَانُوا مِنَ الَّذِينَ ءَامَنُوا يَضْحَكُونَ(29)وَإِذَا مَرُّوا بِهِمْ يَتَغَامَزُونَ(30)وَإِذَا انْقَلَبُوا إِلَى أَهْلِهِمُ انْقَلَبُوا فَكِهِينَ(31)وَإِذَا رَأَوْهُمْ قَالُوا إِنَّ هَؤُلَاءِ لَضَالُّونَ(32)وَمَا أُرْسِلُوا عَلَيْهِمْ حَافِظِينَ(33)فَالْيَوْمَ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنَ الْكُفَّارِ يَضْحَكُونَ(34)عَلَى الْأَرَائِكِ يَنْظُرُونَ(35)هَلْ ثُوِّبَ الْكُفَّارُ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ(36)


“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, adalah mereka yang dahulunya (di dunia) mentertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu di hadapan mereka, mereka saling mengedip-ngedipkan matanya. Dan apabila orang-orang berdosa itu kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira. Dan apabila mereka melihat orang-orang mu'min, mereka mengatakan: "Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang-orang yang sesat", padahal orang-orang yang berdosa itu tidak dikirim untuk penjaga bagi orang-orang mu'min. Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman mentertawakan orang-orang kafir, mereka (duduk) di atas di tempat duduk sambil memandang. Sesungguhnya orang-orang kafir telah diberi ganjaran terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (al-Muthaffifin:29-36)

Ia adalah lanjutan kepada ketidakyakinan dengan kesempurnaan Islam. Dosa ini termasuklah menghina orang yang melaksanakan Islam. Contohnya, kerana kita tidak mahu bersolat, kita menyatakan bahawa orang yang solat pun ada yang melakukan maksiat, atau kita tidak mahu menutup aurat, lalu kita menghina orang yang menutup aurat.

Sewajarnya, jika adik-adik masih belum sempurna mempraktiskan Islam, contohnya, tidak menutup aurat. Adik-adik hendaklah menghindarkan diri daripada mempertahankan maksiat yang adik-adik lakukan, sebaliknya ucaplah terima kasih kepada yang menasihati, dan berdoa serta berusahalah agar adik-adik diberi hidayah.



Bermain-main dengan agama



وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَءَايَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ(65)لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ(66)


“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja". Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta ma`af, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.” (At-Taubah :65,66)

Ayat ini diturunkan ketika sebahagian umat Islam bersenda gurau dengan perkataan yang menghina Islam dan umat Islam. Oleh itu bergurau dengan hal-hal yang merendahkan Islam walau tanpa niat menghina, tetap merosakkan akidah. Ini sering berlaku walaupun sebenarnya gurauan itu tiada niat menghina Islam. Contohnya, adik melihat seorang kawan memakai tudung, lalu adik menggelarnya sebagai ‘mak nenek’, atau melihat seorang kawan berjanggut (membela janggut adalah sunnah), lalu adik mengejeknya sebagai kambing. Ia lumrah berlaku apabila kita sering bergurau-gurau tanpa mengetahui ia sudah melampaui batas.



Meniru amalan orang bukan Islam


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ


“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka.”[ HR. Ahmad dan Abu Daud. Syaikh Al Albani mengatakan hadis ini sahih Irwa’ul Gholil no. 1269]



Ini termasuklah merayakan sambutan atau budaya orang bukan Islam seperti Krisma, Hallowen. Termasuk juga meniru pakaian yang menjadi ciri khusus orang kafir, dan cirri khusus ajaran sesat seperti black metal, skinhead dan lain-lain. Apa sahaja yang melambangkan orang kafir atau golongan fasiq hendaklah dijauhi.


Cinta Melebihi Cinta Kepada Allah



Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:



وَمِنَ النَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ اللّهِ أَندَاداً يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللّهِ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَشَدُّ حُبًّا لِّلّهِ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلّهِ جَمِيعاً وَأَنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ



Dan di antara manusia ada yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah): mereka mencintainya sebagaiman mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih mencintai Allah (berbanding selainnya). [al-Baqarah 2:165]

Fenomena cinta di kalangan remaja, hingga sanggup menggadai maruah, adalah ditakuti kesan rosaknya akidah, akibat mencintai kekasi melebihi Allah. Bahkan ada kekasih pernah menyebutkan: my boyfriend is like my GOD to me. Nauzubillahi min dzalik


Percaya kepada sial


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


لا َعَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ، وَفِرَّ مِنْ اَلْمَجْذُوْمِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الأَسَدِ.



Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung, tidak boleh mempercayai Hama dan tidak boleh (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa [Sahih al-Bukhari secara ta’liq]


Ini termasuk mempercayai jika ada biawak melintas ada nasib buruk, jika pinggan pecah ada sesuatu tidak elok berlaku dan sebagainya. Termasuk juga apa yang disebarkan melalui drama-drama mahupun movie tentang pen yang membawa tuah dan sebagainya.



Berjumpa bomoh



مَنْ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ أَوْ أَتَى امْرَأَتَهُ حَائِضًا أَوْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا فَقَدْ بَرِئَ مِمَّا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ.



Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lalu membenarkannya atau menyetubuhi isterinya yang sedang haid atau menyetubuhi isterinya dari duburnya, maka dia telah lepas (keluar) daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad (yakni Islam) [Sunan Abu Daud:3904]

Jika tidak mempercayainya, maka solat tidak diterima empat puluh hari.

Mungkin adik-adik tidak pernah berjumpa bomoh, tetapi boleh jadi ibu bapa kita melakukannya. Peringatkanlah mereka, berikan mereka risalah ini. Sesungguhnya hal-hal ghaib hanya diketahui Allah!

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya(untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya). [al-Jin 72:26-27]


Mohd Masri Mohd Ramli


Monday, October 25, 2010

Fenomena Abang dan Adik Angkat


assalamualaikum..

seorang perempuan yg saya kenal ini meminta dengan seorang lelaki ini untuk menjadi abg angkat nye,, mereka saling berjumpa dan seperti berkasih sayang sepertu kekasih,, dan kasih syg ini boleh menyebabkam mereka rasa ingin berpeluk.. apakah hukum adik angkat perempuan dan abg angkat lelaki??




Jawapan:


إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيْبَهُ مِنَ الزَّنَى مُدْرِكٌ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زَنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذَنَانِ زِنَاهُمَا الْإِسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلاَمُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ


Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘Anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi setiap anak Adam bahagiannya daripada zina, dia mengalami hal tersebut secara pasti. Mata zinanya adalah memandang, kedua telinga zinanya adalah mendengar, lidah zinanya adalah berbicara, tangan zinanya adalah memegang, dan kaki zinanya adalah berjalan, dan hati berhasrat dan berangan-angan, dan kemaluan akan membenarkan atau mendustakannya (berzina atau tidak). Sahih Muslim: 2657 http://dorar.net/enc/hadith/




Kata al-Imam an-Nawawi:



معنى الحديث أن ابن آدم [ ص: 157 ] قدر عليه نصيب من الزنا ، فمنهم من يكون زناه حقيقيا بإدخال الفرج في الفرج الحرام ، ومنهم من يكون زناه مجازا بالنظر الحرام أو الاستماع إلى الزنا وما يتعلق بتحصيله ، أو بالمس باليد بأن يمس أجنبية بيده ، أو يقبلها ، أو بالمشي بالرجل إلى الزنا ، أو النظر ، أو اللمس ، أو الحديث الحرام مع أجنبية ، ونحو ذلك ، أو بالفكر بالقلب . فكل هذه أنواع من الزنا المجازي ، والفرج يصدق ذلك كله أو يكذبه . معناه أنه قد يحقق الزنا بالفرج ، وقد لا يحققه بألا يولج الفرج في الفرج ، وإن قارب ذلك . والله أعلم .



Hadis ini bermaksud bahawa setiap anak Adam telah ditakdirkan untuk melakukan zina. Di antara mereka ada yang melakukan zina dengan maksud yang sebenarnya dengan memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan wanita secara haram. Di antara mereka ada yang zinanya secara majaz (kiasan), iaitu dengan melihat perkara-perkara yang haram, atau dengan mendengar sesuatu yang mengajak kepada perzinaan dan apa=apa sahaja yang berkaitan yang membawa kepada zina, atau dengan sentuhan tangan iaitu menyentuh wanita ajnabiyah (yang bukan mahram) dengan tangannya, atau menciumnya. Atau bergerak dengan kaki menuju ke tempat zina, melihat, menyentuh, atau berkata-kata dengan cara yang haram bersama dengan wanita ajnabiyah (yang bukan mahram), atau berangan-angan, atau berfikir tentangnya di dalam hati. Setiap hal tersebut merupakan daripada zina majazi/kiasan. Dan kemaluan yang akan merealisasikan atau mendustakannya, ia bermaksud zina yang sebenarnya dengan kemaluan boleh jadi berlaku, dan boleh jadi tidak berlaku walaupun dia telah menghampirinya. Wallahua'lam. (an-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim,http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=7780&idto=7782&bk_no=53&ID=1242 )



Abang angkat mahupun akak angkat adalah jerat Syaitan. Tiada beza coupling, bercinta dengan mempunyai abang atau akak angkat. Mereka semua adalah bukan mahram.


Mohd Masri Mohd Ramli

INTIS Consultant


http://www.facebook.com/note.php?note_id=447734826715&id=594980651


Wednesday, September 15, 2010

Ucapan Hari ‘Eid al-fitr dan Selamat Menyambut Peperiksaan.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, yang saya hormati Penasihat Persatuan Khalifah Muda, Ustaz Abdul Razak Abdul Mutallib, Presiden Persatuan Perwakilan Pelajar Kolej Islam Antarabangsa, Nor Muhammad Syafiq bin Sulaiman, Para Perwakilan Pelajar, Ahli Lembaga Presiden Kolej Islam Antarabangsa, Ahli Majlis Tertinggi, Ahli Jawatankuasa Persatuan Khalifah Muda, ahli-ahli kelab serta sahabat yang saya kasihi sekalian.

Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran diatas inayah dan rahmatNya yang tidak terhingga kita bisa lagi bernafas dan meneruskan perjuangan sebagai khalifah di muka bumi dan menjalani hidup yang bahagia dibawah rahmat dan kasih sayangNya.

Beberapa minggu yang lalu kita telah menyambut kedatangan Syawal dengan jiwa kemenangan dan meninggalkan Ramadhan bulan pengislahan bulan kerahmatan. Perginya Ramadhan dan hadirnya Syawal menunjukkan masa yang pantas berlalu tanpa perlu kita menggerakkannya, tanpa perlu kita menciptakannya, bergeraknya ia mengikut Sunnahtullah yang telah ditetapkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Bulan Ramadhan yang menjadi landasan bagi yang beriman untuk melakukan islah dan perubahan kearah lebih baik sebelum menempuh ‘peperangan’ yang mendatang. Bulan dimana hamba mendambakan Rabbnya dalam menggapai hidayah dan rahmat sebagai bekal dalam mencari keredhaan Yang Menciptakan segalanya.

Kemudian berjuanglah para khalifah sekalian dengan bekal-bekal keimanan yang dikumpulkan dalam bulan Ramadhan dan diperjuangkan dengan penuh komited dan ketekadan serta niat yang tulus dan luhur untuk mencari keredhaan Tuhannya. Ujian yang mendatang menguji niat dan kekuatan seseorang dalam mencari redha Tuhannya yang ternyata sukar dan mencabar. Bukanlah ia semata-mata untuk menguji hambaNya tetapi ia menjadi ladasan kepada hamba-hamba untuk terus mendampingi dengan lebih dekat dan akrab pada TuhanNya, walau sepahit dalam menggapai redhaNya. Jiwa yang luhur dan tulus bisa terus mengorak langkah dalam menggapai keredhaan Tuhannya.

Dan didalam menggapai keredhaanNya bukanlah semata-mata diatas dengan bersujud rukuk tanpa henti sehingga menafikan keperluan dalam kehidupan duniawi yang sepertinya penting sebagai tenaga dan upaya untuk terus berjuang dalam mencari dan menggapai keredhaanNya. Islam mengajar dan mendidik hambaNya untuk menjadikan dunia sebagai alat untuk mencapai kebahagiaan di negeri Akhirat bersama Tuhan yang menciptakan. Dengan menjadikan ‘mati’ sebagai landasan untuk menemui Tuhan dengan penuh rahmat, bisa sahaja menjadikan seseorang hamba seorang yang produktif dan maju, apabila memikirkan tidak ada ruang lagi untuk menyalurkan masa di dunia kepada sesuatu yang sia-sia, tetapi menggunakan setiap saat, minit bahkan setiap detik untuk menjadi abid yang produktif dengan kesempurnaan iman untuk mencapai kehidupan yang bahagia selama-lamanya di akhirat kelak.

Maka bagi para mahasiswa,bukanlah semata-mata dengan mensasarkan gred yang tinggi, bisa menjadikan individu itu seseorang yang berjaya, tetapi dengan keimanan dan jiwa kehambaan yang suci dan luhur serta niat yang ikhlas untuk mencapai kejayaan hanya demi Allah. Dan bukanlah semata-mata dengan menuntut ilmu itu untuk berjaya mencapai gred yang cemerlang, tetapi menggunakan ilmu yang dituntut untuk disumbangkan kepada umat supaya dapat memaju dan membangunkan umat dengan pencapaian yang cemerlang di dunia dan bangkit di akhirat sebagai umat yang diberkati dan dihormati. Maka penekanan terhadap mencapai kecemerlangan dalam akademik itu penting tanpa mengorbankan mana-mana aspek kayu ukur dan asas yang jelas, mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu penting dan menggunakan ilmu untuk kemajuan umat juga adalah penting.

Akhir kata, marilah menggapai hidup yang bahagia di akhirat dengan menjadikan hidup di dunia medan untuk berjuang mencari keredhaan dan rahmat, marilah bergerak menjadi mukmin yang produktif yang terus tekad untuk mencapai kesempurnaan iman. Maka dengan ini, moga terus tekad dan istiqamah dalam pengislahan diri dan moga berjaya dalam peperiksaan yang mendatang. Salam Ukhuwah Salam Perjuangan.


Muhammad Ridhuan Abdul Malik

Presiden Caliph Youth Society(CYS).

Tuesday, September 7, 2010

Selamat Aidil Fitri - Semoga yang terkadang itu bukan penghalang...


Kadang-kadang ada bicara mengguris jiwa,

Ada tindakan insan terkilan,

Ada perasaan tidak dilayan,

Ada hati tidak dirai,

Ada khabar tidak sempat disebar.

Ada berita lupa ditanya

Ada rumah tiada peluang diziarah


Harapanku,

Semoga yang terkadang itu bukan menjadi penghalang,

Untuk sebuah jalinan kasih dan sayang,

Demi untaian ukhuwah dan persahabatan,

Terima kasih duhai sahabat dan teman,

Kita bertemu atas nama Tuhan,

Untuk sebuah perjuangan, sebarkan risalah rasul junjungan,


Jika ada sengketa, jauhkan ia dari kita,

Carilah helah untuk berkawan,

Usah mencari alasan untuk bermusuhan,

Duhai sahabat, wahai teman...

Maaf ku pohon, restu ku rayu

Moga kita terus bersatu,

Dibawah naungan lembayung rahmat Yang Satu,

Selamat AidilFitri buat kalian ikhlas dari ku.


-a.razak muthalib-

Penasihat Caliph Youth Society (CYS)